" a life is a journey..."

" a life is a journey..."

Sunday, September 11, 2016

CINTA ABAH




PENA TIMUR
CINTA ABAH



TERIMA KASIH, ABAH...



Cerpen


CINTA ABAH
Oleh:  Penatimur


DUA batang buluh itu abah pikul lagi. Bergegar-gegar hujung buluh itu mengikut langkah abah. Buluh sepanjang tiga meter itu sudah berkali-kali diusung abah ke sana-sini. Di kedua-dua batang buluh itu, ada terikat jaring hitam di tengah-tengahnya. Bila buluh itu dipacak ke tanah, satu di sini dan satu lagi di sana, jaring yang terikat ditengah-tengahnya itu akan tertarik menjadi tegang, seakan-akan berdirinya sebuah pagar jaring pembahagi permainan bola jaring di tengah gelanggang. Tetapi, jaring  abah itu, langsung tidak akan kelihatan jika dilihat dari kejauhan,  kecualilah jika  diamati betul-betul.
            Semalam, abah pacakkan kedua batang buluh itu di tanah kebun Cikgu Esah yang bersempadan dengan halaman  rumah. Usai sahaja dipacaknya batang buluh itu, abah tebas rumput yang tumbuh meliar di sekitarnya. Bahkan minggu lepas, abah turut tebas rumput-rumput liar di hujung kebun tersebut apabila buluh itu dipacakkannya selama beberapa hari di sana. Malah, semenjak buluh-buluh itu dipacak abah di situ, sudah hampir separuh tanah kebun Cikgu Esah ditebas abah. Maklum saja, tanah kebun itu sudah dua tiga tahun tidak dijengah empunya. Tidak dijaga dengan cara yang sepatutnya. Malah setiap kali musim buah, banyak buah-buah kayu itu dibiarkan berguguran begitu sahaja. Kadangkala abah petik juga sebutir dua, buat menghilangkan terliur melihatkan buah-buah yang masak ranum, tapi buah-buah kayu itu banyak daripadanya yang menjadi makanan burung-burung hutan, kalau tidak pun akan jadi makanan tupai-tupai liar.
Menjelang zohor, barulah abah berhenti dari menebas dan melangkah pulang ke rumah. Selesai solat dan makan tengahari, abah kembali mengadap jaring yang tergantung di kedua-dua buluh itu. Ralit benar abah memerhati jaring hitam itu sambil bersandar malas di atas kerusi usang di beranda rumah. Saat itu, mata abah seringkali melilau-lilau. Setiap kali ada burung-burung yang terbang dan bertenggek di dahan pokok-pokok rambutan atau pokok-pokok kayu di sekitarnya, abah akan memerhatinya dengan penuh minat. Malah di kebun itu, bukan sahaja Murai yang suka singgah tetapi berjenis-jenis lagi burung hutan yang lain. Kadang-kadang burung hutan yang berbulu  hijau, merah,  dan berekor panjang juga ada kelihatan. Kata abah, burung itu tidak boleh ditangkap kerana ianya dari kalangan spesies burung yang dipelihara kerajaan. Kalau hendak memeliharanya, harus meminta lesen daripada pihak Perhilitan. Itu semua dilakukan pihak kerajaan bagi memelihara dan melindungi khazanah alam dari kepupusan.
Memang dari dulu lagi, di tanah kebun Cikgu Esah itu banyak burung-burung hutan yang singgah mencari makanan dan membuat sarang. Setiap pagi, pasti akan kedengaran bunyi  burung-burung tersebut saling bersiulan takkala masing-masing keluar mencari makanan dan apabila petangnya pula, burung-burung tersebut akan terbang berkawanan di angkasa untuk pulang ke sarang. Saat itu, abah pasti akan mendongak melihat langit apabila menyedari kawanan burung-burung terbang melewati atap rumahnya. Abah akan memerhati ralit sehingga kelibat burung-burung itu hilang dari pandangannya.
Dulu, abah langsung tidak kisah dan ambil tahu pasal burung. Sebab dulu, abah sibuk dengan kerjanya. Abah pergi pagi, baliknya petang. Bila petang pula, abah suka bergebang-gebang kosong di kedai kopi Su bertemu muka dengan kawan-kawan. Kalau waktu cuti pula, abah lebih senang menolong ibu melakukan kerja rumah. Abah mesin rumput, sapu sampah dan abah tanam bunga. Memang abah ringan tulang. Kata ibu, memang dia beruntung berlakikan abah, sebab abah selalu meringankan beban kerjanya. Tapi sejak abah pencen dari kerjanya dua tahun yang lalu, abah berubah. Abah asyik benar dengan jaring dan dua batang buluhnya itu.
 Pagi tadi sewaktu rumput masih lagi basah-basah lembap terkena embun pagi,  abah sudah memikul batang buluh itu dan memacakkannya di hujung kebun tersebut. Beberapa jam menunggu tanpa hasil, abah pikul pula batang buluh itu menuju ke pokok jering berhampiran jalan utama menuju ke rumah. Di situ, Abah sandarkan batang buluh di perdu pokok jering. Sewaktu Abah dongakkan kepalanya memandang langit, tempias cahaya matahari sudah mula menyilaukan matanya. Meskipun kedudukan matahari masih belum begitu tegak di atas kepala, namun sudah mampu membuatkan abah berasa tidak selesa dengan bahang kepanasannya.  Badan abah yang tidak berbaju, mula dibasahi peluh.  Abah sering begitu kalau berada berhampiran rumah. Lebih senang baginya hanya memakai kain sarung tanpa mengenakan baju. Panas, jawabnya pendek apabila pernah ditegur ibu.
Buluh itu, satu daripadanya abah pacakkan berhampiran pokok jering dan satu lagi abah pacak berhampiran pokok kelapa di sebelah kanannya. Kedua-duanya sedikit berjarak sehingga jaring di tengahnya tertarik menjadi tegang.  Abah pandang kiri kanan. Bagai sedang berfikir-fikir sesuatu. Bunyi kicauan burung di dahan pokok jering menarik perhatiannya. Jauh di atas dahan, abah ralit benar memerhatikan burung itu. Entah apa yang bermain di benak abah ketika itu, hanya abah yang tahu. Dulu, selalu juga ibu  tegur tentang gelagat abah itu, tapi abah buat-buat pekak. Kata abah, itu cintanya. Jangan ditegur, jangan ditentang. Lama-lama, ibu senyap sendiri. Lama-lama, ibu mengerti sendiri.
Cinta? Pelik bunyinya apabila itu yang terkeluar dari mulut abah. Dulu, ibu juga tidak mengerti. Cinta apanya abah dengan jaring usang dan dua batang buluh panjang itu? Setahu ibu, abah hanya  membuang masa dan tenaga sahaja dengan mengusung buluh itu  ke hulu hilir. Kalau bukan pagi, abah usung petang.  Hanya buluh panjang itu sahajalah yang selalu di fikiran abah pagi petang. Sampai-sampai, ibu sudah lali dengan tingkah laku abah. Lama-lama, ibu biarkan sahaja abah dengan cinta barunya itu. Sebab, bila  ibu fikir-fikir, baginya lebih baik abah menghabiskan masa dengan buluh-buluhnya itu daripada melepak di kedai kopi Su atau bergebang-gebang di kedai kopi Saibi tanpa hala. Sekurang-kurangnya ibu tahu, abah tidak kemana-mana. Abah selalu ada di depan mata!
Buluh yang dipacak, abah pandang atas bawah. Harap-harap, kali ini usahanya tidak sia-sia. Abah pandang dahan pokok jering dan juga pokok rambutan di kiri kanannya. Pandangannya liar bagai mencari-cari sesuatu. Sejenak, pandangannya dilarikan bersama dua tiga ekor burung Merbah yang tiba-tiba terbang melewati kepalanya. Wajah abah yang tadinya tenang tiba-tiba bertukar corak. Abah mengeluh. Seakan dihatinya ada rasa kecewa yang mula tumbuh. 
Selepas asar, sekali lagi abah menghilang. Seketika, abah muncul di halaman rumah dengan berwajah riang. Digenggamannya ada dua ekor Merbah yang meronta-meronta minta dilepaskan. Kedua-dua burung itu, abah pegang kemas, takut terlucut dari tangan. Sesampai di rumah, sepantasnya, abah masukkan Merbah itu kedalam sarang. Sejurus dilepaskan dari tangan, burung itu berterbangan tidak ketahuan hala. Dirempuh dinding sarang berkali-kali. Sekejab di sini, sekejab di sana. Sampai-sampai bulunya tanggal sehelai dua. Abah senyum girang. Meskipun burung-burung itu meronta-ronta di dalam sarang, abah buat-buat tidak berperasaan. Baginya itu satu kepuasan. Setelah sekian lama buluh panjang yang berjaring hitam itu dipikul dan dipacakkannya merata-rata, akhirnya hari ini abah beroleh hasil juga. Abah memang gembira tidak terkata!
Malam itu, sewaktu abah sedang ralit berjenak-jenak dengan burung yang baru diperolehinya petang tadi, ibu menghampiri sambil meletakkan secawan kopi di hadapannya. Abah menarik cawan dekat silaan kakinya. Diminumnya kopi itu seteguk dua. Sekadar menikmati halwa rasa.  Sejak dari tadi, mata abah hanya memerhati gelagat burung yang terkurung di sangkar sahaja.  Ibu di hadapannya, abah buat macam halimunan. Langsung tidak diajak bersembang. Abah…abah…begitu hebat cintanya kepada si burung hutan!


No comments: