" a life is a journey..."

" a life is a journey..."

Monday, May 23, 2011

IBU DAN MERDEKA

PENA TIMUR
IBU DAN MERDEKA

telah diterbitkan: 
Antologi Cerpen " ANUGERAH", JULAI 2016

( Cetakan Pertama: Julai 2016)

Cerpen




Ibu dan Merdeka
oleh: Penatimur




DARI tadi, dia cuma termanggu-manggu. Fikirannya buntu. Di sebelah kanan dan kirinya, rakan-rakan sudah lama menundukkan kepala menuliskan sesuatu. Tapi kertas di atas mejanya tetap kosong. Masih putih, tidak terconteng walau secalit noda pensel. Dia betul-betul bingung. Tidak tahu bagaimanakah jawapan yang harus diberikan kepada gurunya itu harus bermula.

Sepuluh minit berlalu, dia masih begitu juga. Tajuk yang tertera di papan hitam itu terasa begitu mendera perasaannya. Haruskah dia berterus terang? Atau mengelak seperti selalunya. Tetapi bila difikir-fikir, tiada salahnya jika kebenaran itu diketahui semua orang. Biarlah ibunya pernah melarang. Biarlah ayahnya pernah memberinya amaran. Dia sudah tidak kisah. Dia ingin menulisnya sekadar meluahkan rasa yang sekian lama terpendam. Akhirnya, kertas putih itu tercela jua. Mata pensel kian rancak menari mengikut kata hatinya. Dia menulis tanpa rasa berdosa. Begitu banyak curahan hatinya. Biarlah segala beban itu diceritakannya. Sudah lama kedukaan itu dipendamkannya. Hari ini, biarlah segalanya itu terluah jua.

Setelah satu jam akhirnya kertas itu diserahkan kepada gurunya. Terasa ringan bebannya. Dia sudah tidak kisah dengan reaksi gurunya nanti. Barangkali saja, gurunya akan menyangka itu semua cerita rekayasanya sahaja. Dia tidak peduli. Baginya, kisah itu adalah kisah nyata hidupnya. Kisah yang sehari-hari ditentangi dan dihadapinya. Penuh luka dan duka.

“ Engkau tulis apa tadi, zim?” Afrul, temannya disebelah bertanya seusai sahaja kertas bertulisan tangan itu dipungut guru kelasnya. Dia tersenyum cuma. Dia menulis sesuai tajuknya. ‘ CERITAKAN TENTANG KELUARGA KAMU.” Soalan yang dibaca dan ditulis di papan hitam oleh gurunya.

Memang dia menulis tentang keluarganya. Tetapi lebih banyak tentang ibunya. Setelah sekian lama dia tidak berani bercerita dan meluahkan kepada sesiapa. Hari ini, dia seakan membuka pekung di dada. Dia bercerita tentang kedukaan dan kesengsaraannya. Tentang keluarganya. Keluarga yang telah lama mati kebahagiaannya. Tentang kehancuran impian ibunya. Tentang kerakusan bapanya yang siang malam tidak mengenal dosa dan derita yang ditanggungnya.

“ Minggu depan kan cuti, hari merdeka. Jom kita tengok perarakan!” Sewaktu pulang hari itu, Afrul mengajaknya. Dia menggelengkan kepala. Iya, bulan ini adalah bulan merdeka. Malah sepanjang jalan pulang dari sekolah hari itu, dia melihat begitu banyak bendera negaranya yang digantung dan terbuai indah takkala disentuh bayu. Begitu menyamankan mata. Saat itu, tiba-tiba sahaja dia terkenangkan arwah datuknya. Meskipun umurnya masih mentah, namun banyak cerita-cerita tentang kemerdekaan negara ini diketahuinya Semuanya dikutip dari datuknya yang suka berpanglipurlara. Sememangnya, dia anak yang cerdas tetapi telah mati rasa cinta. Bagaimana mungkin dia mengenal rasa cinta seandainya rasa benci dan dendam yang membara terisi di sudut hatinya?





No comments: