" a life is a journey..."

" a life is a journey..."

Thursday, March 24, 2011

SUATU KEHILANGAN

        

PENA TIMUR
SUATU KEHILANGAN

telah diterbitkan:
(Akhbar Berita Minggu, 27 Februari 2005)

kampung pondok lama, tanah merah, kelantan  ( Dec 2015)


Cerpen



Suatu Kehilangan
oleh: Penatimur




Pak Man merenung jauh. Sayup ke tengah laut lepas. Sayu hatinya bagaikan dihiris-hiris. Laut yang tenang itu dipandangnya dengan perasaan berbaur. Sedih, kecewa, marah, kecil hati dan bermacam perasaaan bersarang di hatinya. Keriuhan bunyi bising orang kampung dan pemberita langsung tidak menarik perhatiannya. Pak Man masih keliru dan kebingungan. Ingatannya lebih kepada cucunya, bila mana dia mengajar Aiman turun ke laut dan sama-sama menangkap ikan. Masih jelas di ingatan, dia melihat anak kecil itu ketawa riang apabila mereka mendapat ikan hasil daripada lemparan jala Pak Man dari perahu kecil kepunyaannya. Semalam, cucu kesayangannya itu begitu gembira berada di sisinya. Dekat benar, Air mata Pak Man mengalir di pipi. Disekanya dengan kain pelikat lusuh yang tersangkut di bahu. 

        Sesekali, Pak Man memerhati kosong gelagat jiran-jiran tetangga yang turut datang melawat perkampungan itu. Diperhatikannya sekeliling, segala-galanya musnah. Penduduk kampung masing-masing mempamerkan wajah sugul dan kecewa. Semuanya kelihatan berserabut dan kelam kabut. Pak Man hanya kaku berdiri. Terkesima dengan suratan kehidpannya. Disekanya kali kedua tangisan yang membasahi pipi. Takut-takut kalau orang yang lalu-lalang menyedari dia menangis. Orang kata kalau orang tua menangis, buruk rupa tambahan pula Pak Man orang lelaki. Orang lelaki mana boleh menangis!

     " Pak cik...Pak cik tak apa-apa?" Pertanyaan dari seorang anak muda mengejutkannya. Pak Man menoleh. Dipandangnya wajah pemuda itu kemudian beralih kepada baju yang dipakainya. Tertera gambar bulan bulan sabit yang berwarna merah. Pak Man tidak tahu makna pakaian seragam itu, tepi sejak semalam ramai benar anak-anak muda yang berpakaian begitu di kampungnya. Malah ramai benar wajah-wajah yang tidak pernah dilihatnya berulang alik ke kampung tersebut. Semuanya datang kerana ombak besar yang melanda semalam. 

     Ombak yang mencalit seribu kedukaan pada kehidupannya. Bukan Pak Man tak pernah melihat ombak. Malah Pak Man dan ombak bagaikan berkawan bertahun lamanya. Semenjak Pak Man kecil lagi. Tapi semalam, ombak itu terlalu asing baginya. Ombak itu terlalu besar, terlalu tinggi sehingga mencapai pucuk pokok kelapa. Tidak disangka gegaran yang dirasakannya pagi semalam telah mendatangkan gelombang ombak besar yang menakutkan itu. Tidak diduganya sama sekali!

      Semalam, Pak Man tidak turun ke laut, Hati kecilnya terasa tidak tenteram bagaikan ada sesuatu yang bakal terjadi. Aiman juga entah kenapa langsung tidak mahu berenggang dengannya. Kebosanan berada di rumah sepanjang pagi menyebabkan Pak Man dan cucunya mengambil angin di pesisir pantai. Hari itu, Pak Man melihat kedatangan ombak yang begitu berlainan daripada kebiasaanya. Ketinggiannya amat luar biasa. Kaki langit seolah-olah hilang apabila ombak menghampiri pantai. Gelap dan hitam. Dari jauh, Pak Man menjerit. Mengharapkan keselamatan cucu dan orang-orang kampung yang terpinga-pinga. Jauh beberapa kaki darinya, Aiman serta beberapa orang kanak-kanak yang begitu leka bermain di pesisir pantai, lari bertempiaran. Belum sempat Aiman mencapai tangan Pak Man, ombak terlebih dahulu mengheretnya menuju ke tengah. Pak Man sendiri turut hanyut dibawa arus ombak, tetapi dihalang oleh sebatang pokok sekaligus telah menyelamatkannya. Pak Man hanya mampu melihat Aiman dan beberapa orang penduduk kampungnya tenggelam timbul ditelan gelombang arus kuat itu. Segalanya terlalu cepat. Sekelip mata, Aiman hilang dari pandangannya.
         Teguran pemuda di hadapannya itu disambut dengan gelengan kepala. Pak Man tunduk melihat tanah yang dilitupi selut hitam dan berbaur hanyir itu.Selipar yang dipakai hampir tidak kelihatan warna asalnya kerana dilunyai dengan selut setinggi 0.3 meter itu. Pak Man hanya membisu. Anak muda di sisinya kelihatan serba salah. Pak Man sekadar membiarkan pertanyaan berlalu dibawa angin. Keramahannya selama ini hilang sejak semalam. Bermacam rasa yang menghuni jiwanya sekarang ini. Pak Man tidak mampu walaupun untuk mengukir secebis senyuman. Pak Man sedih, kecewa dan pilu. Tapi jauh di sudut hati, Pak Man tahu mereka adalah manusia yang berhati mulia kerana sanggup menghulurkan bantuan untuk kampungnya selepas banjir besar melanda perairan Kuala Muda sejak semalam.

   " Encik....tak jumpa lagi ke cucu pak cik?" pertanyaan Pak Man terpacul keluar sewaktu pemuda tersebut menghantarnya balik ke sekolah yang ditumpanginya sejaka semalam.

   " Kami masih mencari Pak Cik, bersabarlah...," Jawab anak muda itu sekadar menyedapkan hatinya. Pak Man kembali membisu.

     Kereta diberhentikan di tepi jalan berhampiran sekolah yang menempatkan hampir kesemua mangsa yang ditimpa malapetaka semalam. Wajah-wajah yang dikenali Pak Man datang menghampirinya. Masing-masing berada dalam keadaan sugul dan lemah. Selepas bersalaman dan bertegur sapa buat seketika, Pak Man kembali menyendiri di belakang salah satu blok sekolah. Selepas mengucapkan terima kasih, pemuda yang menghantarnya tadi hilang entah ke mana. Barangkali menuju kembali ke tempat mereka bertemu sebentar tadi. 

    Terbayang jelas di ruang ingatan Pak Man, segalanya ranap dan berlumpur sewaktu dia menjengah ke kampungnya sebentar tadi. Rumahnya hampir tidak kelihatan. Hanyut di bawa arus. Perahu nelayannya terbelah dua. Malah motosikalnya pula tersepit di antara kereta jiran tetangga. Kepiluan menghimpit jiwa. Tiada lagi kudrat dan daya dan untuk mengubah apa yang tersurat. Malah tiada lagi barang tinggalan kenangan bersama Aiman. Pandangannya dilepaskan hampir ke seluruh kawasan kejadian semalam. Semuanya bagaikan padang jarak padang terkukur. Kebanyakkan rumah-rumah hampir berkeadaan yang sama dengan rumahnya. Malah ada yang lebih teruk. Hanyut hanya meningggalkan kesan tapak rumah sahaja. 

       Menurut percakapan orang-orang kampung yang didengari Pak Man, ombak besar itu telah melanda pesisir pantai Kota Kuala Muda tersebut sepanjang 100 meter ke darat sebanyak dua kali. Kesedihan meruntun jiwa, Pak Man beristigfar dalam hati. Reda dengan segala apa yang telah terjadi. Terdetik di hatinya betapa besarnya kekuasaan Allah yang mampu menarik rahmat hanya dalam sekelip mata. Tanpa peingatan, tanpa amaran. Semuanya hadir dengan tiba-tiba. Pak Man hanya mampu berserah dan pasrah. 

    Keriuhan suara kanak-kanak dan ibu bapa di persekitaran sekolah hanya di pandang sepi. Pak Man masih lagi dihantui dengan bayangan Aiman yang sesekali mengundang Ilusinya. Masih terdengar di telinga Pak Man  suara ketawa Aiman semalam dan hari-hari sebelumnya. Pak Man amat berharap segalanya itu adalah mimpi.Mengapa harus ada hari semalam. Dahsyat dan menakutkan. Jika diingat-ingat, meremang bulu roma Pak Man dibuatnya. Pak Man cuba menggagahkan dirinya untuk terus tidak melayani perasaannya tetapi hatinya tetap terasa sebak. Tanpa disedari, air matanya terus mengalir membasahi pipi. Segalanya kerana Tsunami.

     Tsunami? Apa itu? Pak Man kurang arif dengan nama Jepun yang dikaitkan dengan ombak besar yang membanjiri kampungnya semalam. Menurut pembaca berita yang didengarinya malam tadi, ia berkaitan dengan gempa bumi.Kejadian yang telah menyebabkan berlakunya gegeran dari bawah bumi Sumatera yang merebak di atas permukaan laut, tersebar ke darat dan mencecah pantai. Kekuatan dan kelajuan ombak itu mampu mencecah 500 hingga 700 kilometer sejam bagai halilintar. Malaysia tidak terkecuali daripada 11 negara yang turut terkena tempias gelombang maut itu. Entahlah. Pak Man kurang mengerti apa yang sebenarnya berlaku. Maklum saja, Pak Man hanya belajar setakat darjah tiga saja. Tiada ijazah apatah 'MBA' yang membuatkannya faham dengan situasi sebenar bencana alam itu terjadi.

   Pak Man melangkah longlai menuju ke surau sekolah. Seingatnya azan zohor telah lama berkumandang. Pak Man ingin mengadu. Pak Man ingin mencari ketenangan. Wuduk diambil penyegar kesedihan. Khusyuk dia mengerjakan kewajipan hamba.Lama dia berwirid di atas sejadah. Ingatannya kembali terkenangkan Aiman. Pak Man menyuakan kedua tangannya ke langit. Dalam sebak, Pak Man berdoa: " Ya Allah, sesungguhnya aku insan yang lemah lagi berdaya. Temukanlah aku dengan cucuku. Ya Allah, selamatkanlah dia walau di mana dia berada dan temukanlah dia denganku. Ya Allah, sekalipun dalam keadaan yang engkau telah ambil nyawanya. Ketemukanlah cucuku. Ya Alla, sesungguhnya engkau maha pengasih lagi Maha penyayang. Amin". Pak Man meraup tangannya ke muka, air matanya kembali bertakung. Pak Man membiarkannya sahaja.

    Selesai solat, Pak Man cuba-cuba tidur di sudut surau tersebut. Di hujung kanannya, terdapat dua tiga orag yang telahpun terlena terlebih dahulu daripadanya. Letih barangkali. Pak Man cuba melelapkan mata tetapi tidak berdaya. Akhirnya, Pak Man hanya bersandar malas di dinding surau tersebut. Perutnya berkeroncong, tetapi Pak Man tidak terasa lapar. Dari semalam, Pak Man tidak makan. Biarpun berkali-kali dipujuk oleh beberapa orang sukarelawan yang datang membantu mangsa sepertinya, Pak Man tetap tiada selera. Ingatannya masih lagi bertumpu kepada cucunya. Cucu yang telah kematian kedua orang tuanya setahun yang lalu kerana terlibat dengan kemalangan jalanraya. Itulah satu-satunya cucu dan waris Pak Man yang ada. Tanpanya, Pak Man keseorangan di dunia ini.

    " Leman, Aiman depa dah jumpa!..." Lebai Mat mengejutkannya dari terus dibayangi kenangan Aiman. Pak Man tepangah. Aiman? Dah jumpa? selamatkah dia? Pak Man terkedu...

     Penantian dan doa Pak Man untuk melihat  senyuman Aiman ternyata sia-sia. Mayat Aiman dipandang sayu. Terbujur kaku. Hampir tidak dapat dicam wajahnya kerana bengkak terendam air yang agak lama. Trauma semalam masih bersisa. Ketakutan semalam masih belum hilang. Hari ini terpaksa pula menahan satu lagi beban perasaan yang takkan luput untuk selamanya.

     Pak Man sudah tidak berdaya. Umurnya yang menjangkau 60 tahun itu rasanya sudah tidak mampu lagi menanggung beban kesakitan dan kehilangan ini seorang diri. Pak Man tidak sanggup! Pandangan Pak Man  mula berpinar. Berpusing-pusing. Bayangan jasad Aiman dil lihatnya berganda-ganda. Kabur. Terasa lemah kakinya. Pak Man mula merasakan kesakitan yang amat sangat menusuk dadanya. Sakit yang telah lama menghilang semenjak kehadiran Aiman ke pangkuannya setahun yang lepas. Pandangan Pak Man semakin gelap. Pak Man rebah. Suara-suara yang riuh rendah di sekelilingnya sebentar tadi mulai menghilang. Seketika pandangan gelap itu hilang, Pak Man nampak Aiman di hadapannya. Berdiri dan tersenyum melambai padanya. Pak Man gembira. Beberapa kali cuba digapainya tangan Aiman tapi tidak berjaya. Namun, Pak Man tidak cepat berputus asa. Dituruti langkah Aiman yang memanggilnya dalam sayup. Jauh dan mula menjauh.
  



No comments: