" a life is a journey..."

" a life is a journey..."

Sunday, September 11, 2016

HUJAN



PENA TIMUR
HUJAN


 Tanah Merah, Kelantan ( Dec 2015) 



Cerpen



HUJAN
Oleh: Penatimur




DILUAR hujan masih turun mencurah-curah. Begitulah halnya dua tiga hari ini. Cuaca muram dan mendung. Rumput-rumput yang dulunya kekuningan terkena panas matahari kini hijau basah. Kambing abah banyak masanya hanya dikurung didalam kandang. Ayam-ayam peliharaan ibu sudah jarang benar keluar mencari makan di halaman. Banyak masa dihabiskan dengan mengepuk dan bertenggek di bawah rumah. Abah pula lebih kerap bersila di beranda bersama secawan kopi dan sepinggan kuih. Letaklah kuih apa sahaja di waktu begini, pasti habis dimakan abah. Lebih-lebih lagi kalau hari itu, ibu rebus ubi kayu atau keledek. Memang itu makanan kesukaan abah.  Adik kalau bukan di depan televisyen pasti lebih senang berdengkur di dalam selimut. Hanya ibu sahaja yang tidak betah duduk berdiam diri. Ada sahaja yang ingin dilakukannya. Ke sana-sini. Sekejap memasak, sekejap menjemur pakaian, sekejap itu, sekejab ini. Ah hujan, dengar kata orang tua-tua, hujan ini pembawa berkat. Harap benarlah tepatan mereka. Tetapi jika sebaliknya, pasti rumah abah ini kembali dilanda musibah seandainya keadaan hujan ini berterusan turunnya.
            Hujan ini kalau bukan pagi turunnya, pasti sahaja menjelangnya tengah hari. Atau paling tidak pun apabila menjelangnya Buletin Utama di TV3. Saat itulah, volume televisyen akan mencapai baris ke sembilan atau ke sepuluh. Gema suara pembaca berita pasti akan saling berlawanan dengan suara keras hujan yang menimpa atap rumah. Apabila hujan beransur berhenti, volume tv kembali diletakkan di baris tiga atau empat. Rumah abah rumah kampung. Rumah papan. Bukan rumah batu. Rumah abah kalau memasang radio pun hanya setakat volume dua tiga sahaja, sudah boleh didengar seluruh rumah.  Malah terkadang mampu didengar jiran tetangga juga. Tiada penebat gema bagai rumah batu segala.
            Begitulah perihalnya keluarga kecil ini apabila menjelangnya musim hujan. Musim tengkujuh di akhir tahun. Masa banyak terbuang di atas rumah sahaja. Maklum sahaja, tanah lembab dan  lencun. Di luar, di lorong-lorong jalan, lopak sana-sini. Hendak ke sana- sini terasa  segan dan malas. Hujan terkadang turun tidak berhenti-henti. Walau bukan hujan lebat, namun terkadang cukup juga untuk membasahkan pakaian. Untung saja, adik cuti sekolahnya lama sehingga datangnya tahun baru. Sekurang-kurangnya adik tidaklah liat sewaktu bangun pagi ke untuk kesekolah setiap hari. Abah juga sudah dua tahun pencen, tidaklah tersangkut hujan di waktu pagi kerana ingin ke tempat kerja. Tetapi aku, tetap juga bermasalah. Pagi-pagi mengeluh kerana kebosanan terpaksa meredah hujan. Hujan, dalam keberkatan ada kerimasan!
            Hujan ini kalau berterusan begini turunnya, pagi  petang tidak mengira siang dan malam, pasti rumah abah, rumah jiran-jiran tetangga akan menjadi korban banjir lagi tahun ini. Manakan tidak, air alur dibelakang rumah sudah menampakkan tanda-tanda untuk melimpah melepasi tebing. Alur itu, walaupun kecil, sekurang-kurangnya masih menjadi penakung yang baik untuk melancarkan aliran air hujan supaya tidak bertakung di halaman rumah. Masih juga dapat dianggap sebagai satu saliran yang sempurna bagi membawa air hujan ini terus ke sungai kecil di hujung kampung.
            Tapi, kalau dua tiga hari lagi hujan tetap begini lagaknya. Turun dengan tidak berhenti-henti, mahu sahaja peranan alur yang sekecil itu pun akan dibatasi oleh bencana yang bakal datang. Hendak tak hendak, kami sekali lagi akan berkampung di tingkat tiga sekolah menengah kampung ini. Selalunya begitulah. Hanya di sebabkan hujan sahajalah, terkadang bahananya mampu mengundang bala yang besar dan menakutkan. Setiap kali datangnya musim tengkujuh, pasti perkampungan kecil ini akan tenggelam dek bencana banjir. Saat itu, pasti banyak harta benda yang rosak. Malahan lebih walang lagi apabila ada di antara ahli warga kampung yang meninggal dunia kerana lemas banjir.
            Hujan ini diwaktu turunnya, tenang dan mendamaikan. Malah terkadang hanya gerimis sahaja. Menyejukkan mata dan mampu menyuramkan suasana. Jarang sekali beserta ribut kencang ataupun menunjukkan sebarang petanda mala petaka besar yang akan bertandang. Tetapi tanpa disedari, air sungai di hujung kampung melimpah juga. Memuntahkan segala macam isi perutnya ke daratan. Menarik tunggul –tunggul kayu, dan segala macam khazanah ringan di daratan yang kemudiannya saling bergelumang dengan isi perutnya yang sedia ada membanjiri kampung kecil ini. Itu  pengalaman tahun-tahun lalu. Yang akhirnya memaksa keluargaku dan warga kampung ini berpindah bagi menyelamatkan nyawa dan meneruskan kesinambungan sebuah kehidupan.
            Tapi kali ini, harapnya petaka itu janganlah terjadi. Sepanjang dua minggu ini, walaupun hujan turun tidak berhenti-henti namun tidak menampakkan tanda-tanda akan berlakunya petaka banjir seperti tahun-tahun yang lalu. Cukuplah kalau hujan ini turunnya  hanya sampai hari ini. Tiada lagi esok, lusa dan hari –hari seterusnya. Sudah cukup rasanya berkurung  di dalam rumah. Masih banyak lagi agenda tahun ini yang belum diselesaikan. Adik juga, lagi seminggu sudah sampai tarikhnya untuk memasuki persekolahan sesi tahun 2009. Hanya empat lima hari lagi tahun baru bakal menjelma. Tahun baru yang harapnya akan membawa sinar bahagia yang lebih baik daripada tahun ini.
            Tetapi, benarlah kata bidalan. Tidak semua harapan mampu menjadi kenyataan. Selewat petang itu, di dada langit awan masih hitam gelap. Hujan masih begitu juga.  Tetap turun mencurah-curah. Malah lebih kerap dan lebih lebat daripada biasa. Halaman rumah kian bertakung airnya. Burung-burung yang selalunya berkawanan terbang pulang ke sarang, hanya dua tiga ekor menampakkan diri melintasi bumbung rumah abah. Di dalam kandang, kambing abah sesekali mengembek gelisah. Ayam –ayam peliharaan ibu dua tiga ekor mula bertenggek di celah tiang bumbung dapur kayu di belakang rumah. Kata abah, air sungai di hujung kampung mula naik melepasi penanda aras bahaya. Meski tiada angin ribut, namun keadaan hujan yang tidak berhenti –henti menyebabkan air alur di belakang rumah juga turut melimpah, mula  menghampiri bahagian dapur.
            Subuh esoknya, air mula mencapai anak tangga pertama di dapur. Beralun bersama sampah sarap yang terapung di permukaan. Ibu mula gusar. Abah mula cergas. Adik dari semalam sudah bersedia dengan pelampung kepunyaannya. Tengah hari itu, abah mula mengemas barang-barang penting. Banyak barang-barang abah letakkan di atas para. Motorku, abah parkirkan di atas rumah.
            “ Ayuh semua, kita terpaksa berpindah…”
            Petang itu, abah mengharung air kuning berkelodak di paras punggung sambil menjungjung  beg besar di atas kepala. Ibu mengekori  dari belakang bersama sebuah lagi beg kecil. Terkial-kial. Di sebelah ibu, aku pegang tangan adik kemas-kemas. Langkah diatur perlahan-lahan dan berat. Tanpa selipar, kaki terasa melekit-lekit apabila terpijak tanah. Hujung baju yang dipakai terbuai- buai dibawa arus air. Sesekali bila tangan terlucut dari pegangan, adik hanyut bersama pelampungnya jauh-jauh. Aku mengharung kejar, menarik pelampung dan kembali mengekori langkah ibu.
            Hujan tetap sahaja hujan. Air kotor kekuningan mula menghampiri anak tangga teratas. Abah terus mengharung ke hadapan. Adik tiba-tiba melepas peganganku dan mengharung ke hadapan mendapatkan ibu. Aku di belakang mula merasa bebas, sesekali menyelam dan berenang senang. Nun di simpang jalan, beberapa warga kampung turut mengharung bersama beg-beg yang terjungjung di atas kepala. Destinasi mereka sama, semuanya menuju ke sekolah menengah kampung ini lagi untuk kesekian kalinya…

No comments: