" a life is a journey..."

" a life is a journey..."

Sunday, February 9, 2014

AYAM SERAMA ABAH





itik serati jiran sebelah rumah, bukan ayam serama abah...



Oleh: Penatimur ( 2013) 



“ Mati kita Ijak, mati kita kali ini!” Halim pantas bangun dari bertinggung dan tiba-tiba sahaja berlari pulang. Ijak di halaman, kaku berdiri. Terkedu!

“ Ijak!” Suara lantang abah di kaki tangga menyentakkan Ijak. Hatinya tiba-tiba berdegup kencang. Ijak pandang wajah abah seketika sebelum berlari memanjat tangga dapur dan menyembunyikan diri di belakang ibunya. Lututnya terasa menggeletar. Mukanya berubah pucat. Dahinya berpeluh dingin. Ibu yang ketika itu sedang menyapu sampah, sedikit terkejut dengan pelakuan Ijak. Dikerlingnya sekilas wajah Ijak yang dalam ketakutan sebelum menyambung kerjanya. Suasana tenang di halaman sebentar tadi bertukar corak. Awan di langit meski tenang berarak, namun Ijak tahu guruh pasti akan bergegar di bumi kali ini.

“ Ijak…!, Apa yang engkau dah buat?” Pekik abah sejurus didapati ayam serama kesayangannya terkulai mati di bawah pokok rambutan di halaman rumah. Muka abah merah menahan marah. Hatinya sakit bagai tertusuk sembilu. Ijak di dapur makin gelisah. Rasa takutnya kian menular ke seluruh anggota. Ah, bala!kenapa boleh jadi macam ini? gerutunya dalam hati. Ijak peluk ibu kemas. Bagai tidak ingin berpisah. Hatinya gemuruh seribu rasa.

Di halaman, abah merengus geram. Seekor ayam jantan peliharaan ibu berkokok riuh di bawah rumah bagai memerli Ijak. Dari kejauhan, Ijak lihat abah mencari sesuatu di kiri-kanannya. Tidak ada di tanah, abah mendongak. Ranting pokok rambutan yang terjulur di atas kepala, abah capai dan patahkan. Sejurus, abah menapak menuju ke arahnya. Dadanya makin dihimpit bimbang. Dalam ketakutan itu, Ijak melaung kuat…

“ Abah!, Ijak tak buat….!” Serentak itu, ada air mata yang mengalir dari kelopak matanya. Sambil memeluk ibu, Ijak menangis. Ibu yang mulanya kehairanan kini bagai dapat mengagak puncanya. Ibu mengalih pandang melihat abah di halaman sambil menggeleng-gelengkan kepala. Ibu tahu, kali ini, pasti Ijak akan dipukul teruk. Manakan tidak, haiwan kesayangan abah mati terbungkang gara-gara kenakalan anak tunggalnya itu.

“ Ijak, sini engkau!” Laung abah di tengah halaman. Ranting pokok rambutan di tangan terayun-ayun mengikut langkah abah. Air mata Ijak makin kuat bercucuran. Sesekali Ijak menyapu kasar dengan tapak tangan. Makin abah menapak dekat, makin Ijak menikus di belakang ibunya.

“ Tak guna punya anak. Mampus ayam aku engkau kerjakan…!” Marah abah bergempita. Saat itu, terasa ingin luruh hatinya apabila mendengar suara garang abah. Esaknya makin menjadi-jadi. Ibu memeluk Ijak kemas. Ibu tahu, Ijak takut.

“ Apa yang awak nak buat?. Nak pukul Ijak?. Sudahlah. Ayam tu dah mati. Budak ni pun bukannya sengaja…” pertahan ibu Ijak. Langkah abah makin lebar, kian menghampiri.

“ Tak sengaja awak kata. Tengok!, dah mampus ayam serama saya dilastiknya. Apa, dah tak ada binatang lain yang nak dilastik sampaikan ayam serama saya pun hendak dilastiknya. Dah tahu ayam tu saya sayang, yang dia gatal tangan melastik ayam tu siapa suruh. Jaga engkau Ijak. Hari ini memang teruk engkau aku kerjakan!” Abah makin menyinga di tangga pintu dapur. Marahnya tidak terbendung lagi. Ditenung bengis muka Ijak yang menikus di belakang isterinya. Ingin rasanya ditampar wajah anak tunggalnya itu. Biar puas rasa hatinya. Begitu banyak binatang yang terdapat di kampung itu, kenapa ayam seramanya juga yang menjadi mangsa. Ijak memang nak kena!. Sudahlah ayam itu, satu-satunya ayam yang ingin dipertandingkan dalam pertandingan ayam serama merdeka hujung bulan nanti. Dah bertahun-tahun ayam seramanya itu dibela. Ayam serama itu kalau menang, pasti nilainya lagi tinggi di pasaran. Malah kalau dijual sekarang, ayamnya itu mampu mencecah harga lima enam ribu. Alih-alih hari ini, mampus begitu sahaja. Mana abah tak mengamuk!

Abah memijak anak tangga. Ibu di muka pintu menginjak ke tengah ruang dapur. Ibu tarik tubuh Ijak ke belakangnya. Seolah-olah ingin menyembunyikan Ijak, walau abah tahu benar Ijak berada di situ. Ijak akur, ibu pasti takkan membenarkan dirinya di pengapakan abah. Tetapi kali ini abah marah benar. Bukan marah-marah seperti selalunya. Tambah-tambah lagi, abah ada perangai panas baran. Pantang silap sedikit, pasti lebam-lebam tubuhnya dirotan abah. Tapi kata ibu, selalunya itu Ijak yang degil. Benda yang dilarang itulah yang ingin dibuatnya. Siapa yang tidak marah. Siapa yang tidak naik angin. Hingga saat ini pun, Ijak memang suka mencari masalah. Dan tadi, tak semena-mena ayam serama abah pula yang menjadi punca.

Abah menghampiri ibu. Ditariknya Ijak dengan kasar. Meski ibu cuba menghalang namun kudrat ibu ternyata tidak dapat menghalang kemarahan abah. Ranting di tangan, abah hayun dua tiga kali ke tubuh Ijak. Ijak meraung kesakitan, Di belakang abah, walau ibu beberapa kali cuba menghalang, tetapi abah tetap tidak peduli.

“ Awak jangan masuk campur. Kali ini memang dia dah melampau…”

Abah tarik Ijak ke halaman. Ranting pokok rambutan di tangannya masih dipegang kemas. Meski Ijak meronta-ronta minta dilepaskan, abah buat-buat pekak. Ijak pandang wajah abah sambil merayu-rayu minta dilepaskan, tapi abah buat-buat tidak nampak.

Abah sakit!, abah pedih!, abah perit!…..

“ Tengok!, Apa yang Ijak dah buat. Ijak tahu tak berapa harga ayam ini, lima ribu tahu tak!” Abah tolak Ijak kasar. Ijak terdorong ke pangkal pokok rambutan. Dalam sedu sedan, Ijak pandang ayam serama abah yang terkulai di hadapannya. Lima ribu?. Ayam yang sekecil ini harganya lima ribu?. Abah tipu!…bisik hatinya. Takkan ayam kecil macam tu harganya sampai lima ribu. Terlintas di benaknya akan Jalak, ayam jantan yang pernah di pelihara ibunya dulu. Jalak lagi besar dari ayam abah, tapi kenapa ibu jual dengan harga lima belas ringgit sahaja. Abah tipu!. Dipandangnya wajah bengis abah dengan perasaan tidak puas hati.

“ Sekarang cakap, kenapa Ijak lastik ayam abah. Cakap!” Jerit abah lantang. Ijak telan air liur. Bagaimana nak cakap. Kalau Ijak cakap, abah bukan faham pun. Lagipun Ijak bukan sengaja. Halim yang suruh Ijak lastik ayam tu tadi. Saja nak main-main katanya. Halim…

“ Ijak tak buat. Ha..Ha…lim..yang…yang..” jawab Ijak tersedu-sedu. Kepala Ijak ligat memikirkan jalan untuk melepaskan diri dari terus dirotan abah. Abah memang tidak adil. Kerana ayam itu, abah sanggup memukul dirinya. Ijak pandang wajah abah takut-takut. Ijak ingin bangun, tapi tangannya kembali disentap abah. Ijak kembali terduduk.

“Halim apa?” sergah abah lagi. Ranting pokok rambutan abah angkat tinggi-tinggi. Bagai ingin memukul lagi. Ijak pejam mata. Takut!.

“Halim yang buat….” terlepas kata-kata itu dari mulutnya. Sepantas kilat, abah renggut tangan Ijak. Dengan kasar, abah tarik tangan Ijak, di heretnya keluar halaman. Ibu di dapur hanya melaung-laung melihat gelagat abah. Ijak lihat ibu menangis. Tetapi, saat itu ibu memang tidak berdaya untuk menghalang kemarahan abah.

“Daud….!” Panggil abah setibanya mereka di halaman rumah Halim. Tangan Ijak di lepaskan. Ah…sakit!

Sebentar kemudian, kelihatan wajah Pak Cik Daud terjengul di muka pintu. Ada riak hairan di wajahnya. Sejurus kakinya memijak halaman rumah, abah menyergah kasar.

“Mana anak engkau? Mana Halim. Sampai mampus ayam aku dikerjakannya.….” Pak Cik Daud pandang wajah Ijak dan wajah abah silih berganti.

“Apa hal ni?” Tanyanya tenang. Marah abah makin membuak-buak.

“Aku tanya mana Halim. Engkau tahu tak, anak engkau dah buat ayam serama aku mampus. Sekarang aku tak kira. Engkau kena bayar ganti rugi. Ayam aku tu bukan sebarang ayam tau. Harganya lima ribu!” Pak cik Daud terpangah!.

“Ayam apa?, Apa hal ini Ishak. Aku tak faham. Ijak, kenapa ini?” Tanya pak cik Daud lagi, masih enggan mengerti cakap abah.

“Hei, engkau pekak ke!, Aku cakap, ayam serama aku mampus dilastik anak engkau. Sekarang aku nak minta ganti rugi. Kalau tak aku bawa perkara ini kepada Wan Ali. Biar semua orang tahu engkau tak pandai jaga anak!.”

Wajah Pak cik Daud berubah corak. Berkerut. Ini sudah kes berat. Takkan pasal ayam pun mahu mengadu sampai ke punghulu kampung. Pak cik Daud pandang wajah Ijak meminta kepastian. Tapi Ijak masih begitu. Masih tersedu-sedu menangis!

“Apa hal ini Ishak. Jangan nak main tuduh saja. Apa, engkau tengok anak aku yang buat. Kalau tak ada bukti, jangan sesedap mulut aje nak tuduh Halim yang buat. Entah-entah si Ijak ini yang buat ayam serama engkau tu mampus!” Pak cik Daud mula hilang sabar. Ditenungnya wajah abah dengan wajah kurang senang.

“Dah…!, tak payah cakap banyak. Memang anak engkau yang buat. Kalau tidak takkan dia lari bila nampak aku tadi. Ijak saksinya.” Abah menolak Ijak ke hadapan. Ijak yang berdiri di sisi abah, tergenjat ke hadapan sedikit. Pak cik daud sekadar mencebik.

“Ah!…tak percaya aku. Anak beranak sama saja. Entah-entah bersubahat. Mana aku tahu!” Pak cik Daud masih enggan mengalah. Situasi mula tegang. Hati Ijak mula digamit rasa bersalah yang amat sangat. Kerana seekor ayam, abah sanggup berkelahi begini dengan jiran tetangga. Ijak memang betul-betul merasa bersalah.

“Ijak cakap dengan pak cik, siapa yang lastik ayam abah Ijak. Halim ke?” asak Pak Cik Daud meminta kepastian. Dalam sendu, Ijak menarik nafas dalam-dalam. Cakap ke tidak?

“Ayam…ayam tu…Ijak yang lastik…..” abah terkedu. Pak cik Daud tersenyum sinis.

“ Aku dah kata. Jangan main tuduh aje Ishak. Selidik dulu. Fitnah ni kesannya lebih bahaya dari membunuh….” Kata-kata pak cik daud begitu menyusuk di hati abah. Abah pandang wajah Ijak bengis. Pang!…

Ijak meraba pipinya. Tamparan pedih dari abah sehingga kini masih dapat dirasakannya. Kesunyian memandu pulang ke kampung bersendirian begitu, sesekali menggamit memori di waktu-waktu kecilnya. Dalam terkenang-kenang itu, akhirnya Ijak membelokkan keretanya memasuki perkarangan rumah abah.

Petang itu, Ijak duduk berbual bersama abah. Semenjak dia balik tengahari tadi, abah ralit benar memerhati hadiah yang diberikannya di halaman.

“ Berapa harga ayam ini Ijak?, Cantik abah tengok. Tengok dari gayanya boleh masuk bertanding ni…” tanya abah sambil mendongak memandang wajah anak tunggalnya itu di atas tangga. Ijak senyum. Memang ayam serama itu, ayam yang pernah memasuki pertandingan. Kalau bukan kerana kawannya kesempitan duit, rasanya ayam itu takkan dijual kepadanya. Dah memang rezeki abah agaknya.

“ Adalah sikit. Sama dengan harga ayam yang Ijak lastik dulu agaknya…” beritahu Ijak bersahaja. Abah pandang wajah Ijak lama sebelum abah kembali tunduk berdiam diri.

“ Ijak tahu kenapa abah tampar pipi Ijak hari itu?” Tanya abah kemudiannya. Matanya masih tidak lepas-lepas melihat ayam serama yang berjalan penuh gaya di hadapannya itu. Ijak mengjungkit bahu.

“Emm…, sebab Ijak lastik ayam serama abah….” jawab Ijak perlahan dan teragak-agak. Selama bertahun-tahun, hanya itulah yang difikirkannya. Abah senyum bermakna. Lama abah diam berjenak-jenak sebelum menyambung kata.

“Bukan, abah tampar kerana Ijak berbohong. Bukan kerana ayam serama abah….” ujar abah tenang. Dari atas tangga, Ijak pandang wajah tua abah sekilas, sebelum menundukkan kepala dan mengukir senyum sendirian.

No comments: