" a life is a journey..."

" a life is a journey..."

Friday, February 7, 2014

SEBUAH KENANGAN SEMALAM


PENA TIMUR
SEBUAH KENANGAN SEMALAM

telah diterbitkan:
(Majalah Tunas Cipta, November 2009)
Bedah Cerpen bersama penulis Khadijah Hashim di Hotel Palma, Ampang
(anjuran DBP, 2013)




Cerpen





Sebuah Kenangan Semalam
Oleh: Penatimur



PETANG itu langit kelihatan mendung. Seolah-olah memberi khabar hujan akan turun bila-bila masa sahaja. Dari jauh kelihatan Zalia berjalan tergesa-gesa menuju ke stesen bas di tengah-tengah Bandar Kota Bharu itu. Hari itu, dia pulang sedikit awal dari biasa. Zalia melewati lorong-lorong kecil sebagai jalan pintas untuk segera sampai ke stesen tersebut. Sesekali dia akan menyelusuri kaki lima gudang-gudang yang menyediakan pelbagai jenis barangan jualan. Selalunya, Zalia akan singgah juga memasuki gudang-gudang yang menarik perhatiannya sekadar menjamu mata, namun hari itu terasa tidak berminat pula.

Dalam langkah yang tergesa-gesa itu, beberapa orang yang berselisih dengannya hanya dipandang kosong. Zalia tidak mengenali, tidak pula mengambil peduli. Cuma apabila sesekali Zalia berselisih dan bertemu pandang dengan mak cik-mak cik diukirkan juga senyuman di bibirnya itu. Langkahnya diatur pantas, dia harus segera sampai ke stesen bas itu, manalah tahu nasibnya baik, kalau-kalau bas yang dinaiki telah sedia menunggu dapat juga dia pulang awal. Beg tangan yang tergantung di bahu sesekali dipegang kemas. Takut kalau-kalau dalam keadaan kalut begitu, ada pula manusia yang berniat tidak baik. Teringat pesan neneknya, manusia ini rambut sahaja sama hitam, tapi hati lain-lain. Kadang-kala pesanan orang tua harus diambil kira juga, bukankah mereka lebih dulu makan garam!

Sesampainya di perhentian bas itu, Zalia sedikit hampa kerana bas yang diharapkan masih belum tiba. Matanya melilau memerhati kalau-kalau ada bangku yang kosong. Harapannya luluh juga. Walaupun stesen itu sedikit lengang berbanding dengan orang ramai yang turut ternanti-nantikan ketibaan bas untuk menuju ke destinasi masing-masing. Zalia mengeluh. Beg kertas bersaiz sederhana yang berisi kain sembahyangnya dialihkan ke tangan kiri. Sedikit melegakan tangan kanan yang mula terasa kebas kerana membimbitnya sepanjang jalan ke situ sebentar tadi. Sejurus, Zalia mengerling jam di tangan. Sudah pukul 4.30 petang. Selalunya, bas cepat yang menuju ke Tanah Merah dan Pasir Mas sudah terpacak di hadapannya. Namun entah mengapa hari itu, lambat benar pula di rasakannya.

Dalam termanggu-manggu itu, pandangannya dilemparkan merata ke semua arah. Jauh dihadapannya kelihatan anak-anak remaja duduk berpeleseran, melepak di kaki lima gudang-gudang konkrit sambil sesetengahnya tanpa segan silu menghisap rokok. Zalia hanya memandang kosong sambil mengagak-agak, barangkali mereka masih dibangku sekolah kerana jika dilihat dari cara gaya dan riak wajah, ternyata mereka masih muda benar untuk digelar lelaki sejati.

Malas memerhati lebih lama, Zalia lemparkan pula pandangan ke sudut selekoh jalan berhadapan dengannya. Seorang mak cik tua sedang duduk di atas kerusi plastik rendah sambil sesekali memanggil-manggil orang yang lalu lalang di hadapannya supaya singgah membeli etak yang tersedia segadang di hadapannya. Di sebelah kanannya terdapat beberapa buah bas mini kuning tersadai dari tadi tidak bergerak-gerak. Barangkali masanya belum tiba walaupun diperhatikannya sudah terdapat ramai penumpang yang mengipas-ngipas kehangatan di dalam sesetangah perut bas di situ. Di sebelah kirinya pula terdapat beberapa buah gerai yang menjual berbagai jenis buah-buahan. Penjual di salah satu gerai tersebut barangkali suami isteri, kelihatan mesra dan rapat benar.

Lama Zalia memandang. Bagaikan tertarik melihat telatahnya. Wajah itu sudah terlalu tua jika diamati dengan teliti. Mukanya berkedut seribu kerana dimamah usia yang makin melanjut. Barangkali umurnya seusia dengan umur neneknya di kampung. Lingkungan 65 tahun begitu. Zalia tidak pasti. Entah mengapa, jauh di sudut hatinya tiba-tiba pula diserbu perasaan simpati.

Serentak itu, Zalia menyeluk beg tangan yang disandangnya. Mencari kalau-kalau ada duit lebih. Seingatnya tadi, duitnya hari itu cukup-cukup untuk membayar tambang bas dan juga tambang kereta sapu untuk ke rumahnya di Bandar Tanah Merah nanti. Dibukanya beg duit yang telah setahun di gunanya itu, mencari kalau-kalau ada duit yang barangkali dia terlupa pernah menyimpannya di tempat tertentu. Sejurus, bibirnya mengukir senyum, tangannya pantas mengeluarkan sehelai kertas yang bewarna hijau muda terlipat kecil di salah satu poket beg duitnya itu. Cuba difikir-fikirkannya, entah bila masanya duit lima ringgit itu disimpannya di situ, dia sudah tidak ingat. Dalam berkira-kira sendirian itu, langkahnya di atur tenang menghampiri mak cik tua yang telah menggamit perhatiannya sejak dari tadi itu.

“ Mak cik, etak seringgit…,” mak cik tua itu sedikit tersentak apabila ditegur Zalia. Waktu itu, dia sedang menggenyeh matanya yang dimasuki debu-debu jalan. Zalia sendiri turut lemas berada di situ apabila sebuah bas mini yang entah dari mana tiba-tiba berhenti dibelakangnya. Memang di situ merupakan perhentian bas-bas mini hanya untuk laluan sekitar bandar Kota Bharu sahaja. Zalia juga sering menaiki bas di situ sewaktu dia masih bersekolah di salah sebuah sekolah di bandar itu enam tahun dahulu.

“ Berapa…mek?” mak cik tua bertanya seolah-olah tidak mendengar suara Zalia sebentar tadi. Zalia senyum.

“ Seriyal.” Jawabnya kembali.

Mak cik tua itu mengangguk –angguk. Segera dicapainya kertas surat khabar Metro yang ditindih di bawah gudang etak itu dan dikoyak dua bahagian. Zalia tidak pasti sama ada kandungannya adalah berita untuk hari itu atau hari-hari sebelumnya. Surat khabar yang terkoyak dua itu separuh disimpannya kembali di bawah gadang etak itu manakala yang separuh lagi digulungnya berbentuk kon. Sedang tangannya kirinya memegang kemas kertas tersebut, tangan kanannya pula pantas mencedok dua bekas kecil etak yang hanya tinggal separuh lagi di dalam gadangnya itu. Sudah lama rasanya, Zalia tidak memakan makanan laut itu. Kecur air liurnya apabila mengingatkan makanan laut yang mempunyai rasanya yang tersendiri itu. Etak, popularitinya lebih sinonim dengan negeri Kelantan. Rasanya lebih kurang macam makan tiram atau kepah. Isinya berlendir dan putih kuning. Tetapi, bentuknya kecil-kecil tirus jika hendak dibandingkan dengan dua jenis makanan laut yang ternyata lebih popular itu.

Sejurus, plastik yang berisi etak bertukar tangan. Baki duit dihulur, tanpa mengira Zalia campakkan saja ke dalam beg tangan yang tersandang di bahunya. Tanpa berlengah, Zalia kembali mendapatkan tempat di kaki stesen bas itu. Kalau tadi, bangku tidak ada yang kosong, kali ini Zalia bernasib baik. Sudah banyak tempat-tempat kosong yang ditinggalkan kerana ramai orang yang telah beredar menaiki bas cepat ‘ Rantau Panjang- Pasir Mas’ sepeninggalannya tadi. Zalia menghenyakkan punggungnya. Sedikit melegakan badannya yang lenguh-lenguh kerana berdiri sepanjang penantiannya sebentar tadi. Plastik pink jernih yang berisi etak yang dibelinya tadi diletakkan di dalam beg kertas yan berisi kain sembahyangnya itu. Senang untuk dibawa, fikirnya. Sejenak, matanya memerhati pula kalau-kalau bas yang ditunggunya ada di bahagian belakang, namun masih juga hampa. Dikerlingnya entah kali ke berapa jam di tangan. Dalam termanggu-manggu itu, sesekali bibirnya yang mula kehilangan warna cerah gincu itu mengeluh-ngeluh kecil.

Dalam tertunggu-tunggu itu, Zalia bagaikan masih terikat dengan gelagat mak cik tua itu. Di perhatikannya berterusan, hanya berjarak seberang jalan. Terdetik di hatinya, betapa mak cik tua itu memberi seribu satu keinsafan kepadanya. Lihat sahaja sewaktu payungnya sesekali ditiup angin petang yang kuat, menyebabkan beberapa orang penunggu bas termasuk Zalia sendiri mengengsot mencari ruang untuk berlindung dari debu-debu jalan namun mak cik tua itu langsung tidak berganjak. Jelas dipandanganya, mak cik tua akan memegang payung yang besar dan berat itu sekuat tenaganya bagaikan payung itu terlalu bererti baginya. Sangat bererti barangkali. Dalam diam, Zalia kagum. Betapa orang tua itu terlalu tabah dalam mengharungi kehidupannya. Dan, bila angin kembali berpuput tenang, dilepaskannya payung itu kemudian kembali menyambung memanggil –manggil orang ramai yang lalu lalang supaya singgah ke gerainya yang hanya sepayung sahaja itu.

Bila saja angin petang kembali berhembus kuat, payungnya akan bergoyang-goyang lagi. Walaupun ramai orang yang lalu-lalang di kiri kanan atau dihadapannya, tiada siapa yang peduli. Keutamaan lebih kepada keselamatan diri sendiri dengan berselindung di kaki-kaki lima yang terlindung oleh atap gudang-gudang batu yang kuat. Gadang etaknya sesekali tertutup terbuka oleh surat khabar yang dijadikan penutup dari debu-debu kota kerana ditiup oleh angin yang tidak tahu bersimpati. Malah angin itu juga, sesekali mengelabui matanya, sesekali juga akan melarikan plastik-plastik kepunyaannya yang tergantung di batang payung itu. Saat itu berlaku, mak cik itu masih di situ, tetap setia tidak berganjak. Plastik-plastik yang dilarikan angin itu kalau ada yang dapat dicapainya, kembali disimpan di bawah gadang etak manakala yang tidak sempat, hanya mampu dipandang terbang pergi. Saat itu, wajahnya sering saja bertukar corak. Berkerut. Tenang. Berkerut. Tenang lagi. Walaupun berjarak dengannya, Zalia dapat menangkap jelas.

Sewaktu Zalia leka mengamati gelagat mak cik tua itu, tiba-tiba pandangannya tersentak apabila dihalang oleh kehadiran sebuah bas cepat ‘Pasir Mas- Rantau Panjang’ yang tiba untuk kali kedua di stesen itu. Zalia hanya membuang pandang. Serentak pintu bas terbuka, beberapa orang lelaki perempuan, mak cik pak cik, anak –anak remaja mula mengerumuni pintu bas tersebut. Masing-masing saling berebut dan lintas melintas. Teorinya senang sahaja, siapa cepat, dapatlah tempat duduk, siapa lambat akan berdirilah sepanjang-panjang perjalanan. Namun, kalau bernasib, di mana ada orang yang akan turun di pertengahan jalan, kerusinya akan dihenyak pula oleh orang yang berdiri tadi. Zalia sudah khatam benar. Di atas bangku yang didudukinya itu, Zalia terus memerhatikan kekalutan manusia-manusia itu hanya dengan pandangan kosong.

Walaupun penumpang sudah penuh di dalam perut bas, namun bas tersebut belum mahu bergerak. Zalia mengerling melihat jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 5.00 petang. Kenapa lewat sungguh bas yang ditunggunya kali ini. Kesabarannya dari tadi terasa diperlekehkan. Malas melayan, pandangannya ditumpahkan pula pada gelagat pak cik-pak cik pengayuh beca yang kelihatannya sedang rancak berbual di hujung seberang jalan utama.

Seketika, Zalia pandang langit. Awan kelihatan makin gelap. Kemudian dikalihkan kembali pandangannya ke arah pak cik-pak cik pengayuh beca tersebut. Dua tiga orang mula meninggalkan tempat tersebut. Ke mana, Zalia tidak pasti. Barangkali pulang ke rumah atau mencari tempat berteduh dari di timpa hujan yang akan turun bila-bila masa sahaja. Sewaktu dia sedang ralit memerhati fenomena itu, Zalia menangkap ketibaan bas yang ditunggu-tunggunya. Hatinya berbunga riang. Zalia bangun, mencapai beg kertas di tepi kakinya dan turut sama berebut-rebut dengan beberapa orang yang sejak tadi turut tertunggu-tunggu sepertinya apabila bas tersebut berhenti sedikit jauh dari tempat duduknya.

Sewaktu Zalia menghenyakkan punggungnya di kusyen empuk bas cepat itu, hujan mula mengguyur-guyur turun menimpa atap bas tersebut. Zalia memilih tempat di tengah-tengah. Matanya memandang keluar. Teringat sesuatu yang mengganggu fikirannya, Zalia membelek-belek beg sandangnya sejenak. Seketika, wajahnya bertukar corak, bagaikan terganggu oleh sesuatu. Mak cik tua itu sebentar tadi telah membuat pengembalian baki yang salah. Duit lima ringgit yang sepatutnya bertukar tangan, kembali berada di genggamannya beserta dengan beberapa keping lagi duit kertas bernot seringgit. Zalia serba salah. Sewaktu Zalia berkira-kira untuk turun dan mengembalikan baki tersebut, tiba-tiba sahaja dirasakan bas yang dinaikinya itu mula bergerak. Zalia mengeluh hampa. Dari tingkap bas bercermin besar yang semakin galak dicucuri titik-titik jernih hujan itu, Zalia hanya mampu memandang wajah mak cik tua tersebut dengan perasaan yang berbaur. Diperhatikannya sayu dibalik cermin gelagat mak cik tua itu yang kelihatan kurang selesa berteduh dari timpaan hujan di bawah payungnya yang besar itu. Malah, sesekali juga payung akan dipegang-pegang. Jauh di sudut hati Zalia, rasa simpatinya terasa meluap-luap.

Sewaktu bas cepat itu bergerak meninggalkan perkarangan stesen bas Kota Bharu itu, dia tahu mak cik itu bukan sekadar ada untuk hari ini. Esok, pasti saja mak cik tua itu akan ada lagi. Seingatnya, mak cik tua itu sudah terlalu lama berada di selekoh jalan tersebut. Hampir bertahun-tahun. Malah, mak cik tua itu bagaikan sudah terikat terus dengan selekoh itu dengan segadang etaknya. Demikian juga halnya dengan penjual-penjual gerai lain yang turut sama-sama menumpang mencari rezeki di selekoh itu. sampai bilakah mak cik itu akan bertahan di situ, Zalia tidak tahu.

Esoknya, sewaktu Zalia kembali memijak bandar Kota Bharu itu, dilihatnya mak cik tua itu tidak ada. Zalia melilau juga untuk seketika. Cuba-cuba mencari kelibatnya di sekitar selekoh tersebut, namun tidak kelihatan. Selekoh itu kosong! Yang ada cuma gerai penjual buah-buahan yang berderet dua tiga buah. Zalia tertanya-tanya. Awal sangatkah ketibaannya hari ini, padahal hari-hari sebelumnya, itulah masanya Zalia seringkali melihat mak cik tua mengemas-ngemas tempat jualannya.

Zalia mengerling jam di tangan. Ah, Mungkin saja dia akan terlewat kalau masih berlengah. Tapi mak cik itu…serta baki duit semalam…ah! Nanti saja bila pulang dari kerja, akan dipulangkannya. Dalam kalut, Zalia menapak menuju ke salah satu bangunan yan tersergam berdiri di ibu kota negeri kelahirannya. Langkahnya diatur pantas, bimbang kalau –kalau ketibaannya nanti akan ditanda merah oleh mesin ‘punchcard’ pejabat yang menjadi bukti kehadirannya bekerja untuk hari itu. Zalia tidak suka jika ianya terjadi kerana secara tidak langsung akan mencacatkan kredibilitinya sebagai pekerja baru yang masih lagi dalam proses penilaian dan pemerhatian majikan.

Seminggu Zalia tertunggu-tunggu kelibat mak cik itu. Malah, setiap kali selepas pulang dari kerja, Zalia akan ternanti-nanti kehadiran mak cik tua tersebut. Hatinya seolah-olah berteka-teki sendiri. Sakitkah mak cik tua itu? bercutikah mak cik tua itu?atau sekadar ingin berehat di rumah? Atau barangkali juga sudah tidak ingin berjualan lagi di situ? Berbagai andaian menular di kotak fikirannya. Kalau bukan kerana hal pengembalian baki yang salah seminggu yang lalu, Zalia pasti kehilangan mak cik tua itu langsung tidak berbekas di kepalanya.
Hari itu, Zalia tekad, dihampirinya pak cik penjual sebuah gerai buah yang berhampiran dengan selekoh itu selepas pulang dari kerjanya.

“ Pak cik, mak cik yang menjual etak di situ sudah tidak menjual lagikah?” Lama lelaki separuh umur itu memandangnya.

“ Mek ni siapa? Ada apa mencarinya?

“ Er…sebenarnya minggu lepas, mak cik tu bagi duit baki silap sikit. Ingat nak pulangkan balik. Dua tiga hari ini tak nampak pula. Sudah tidak menjual di sinikah? Tanya Zalia sambil melemparkan senyuman mesra di bibirnya.

Lama pak cik itu berdiam diri. Wajahnya bertukar corak. Sedikit mendung. Zalia makin digaru tanda tanya.

“Mek, sebenarnya mak cik tu dah seminggu meninggal dunia. Kemalangan jalanraya…”

Zalia terpangah! Inna Lillahi Wainna Ilaihi Rojiun..! Jauh di hadapannya, di perhatikannya selekoh itu dengan pandangan kosong. Sekosong selekoh itu yang kini tiada lagi kedengaran panggilan suara lemah seorang mak cik tua yang pernah memeriahkannya hanya dengan segadang etak!

No comments: