" a life is a journey..."

" a life is a journey..."

Monday, May 23, 2011

JANJI SATU SYAWAL



k. yah Jali, jiran  (banjir besar dec 2015)



Oleh: Penatimur


ESOK sudah masuk satu Ramadhan. Ini bermakna dia akan kembali berpuasa untuk kesekian kalinya. Dia kan orang islam. Ustazah di sekolah pun turut menyuruhnya berpuasa. Kata ustazah Fazilah, setiap orang islam yang beriman diwajibkan untuk berpuasa. Begitu juga dia. Biarpun umurnya masih muda, tapi sekurang-kurangnya dia belajar untuk berpuasa. Sebab, kata ibu, itu tuntutan agama. Harus buat. Tidak boleh kalau tidak buat. Berdosa, masuk neraka. Lagipula bila abah balik hari raya nanti, dia boleh bangga-banggakan dirinya di depan abah. Akan diberitahu abahnya kuat-kuat, “Lina puasa penuh abah!” Mesti abah akan gembira mendengarkannya dan pasti juga abah akan tunaikan janjinya.

Tapi esok, dia akan tetap berpuasa tanpa kehadiran abah seperti dua tahun yang lalu juga. Tanpa abah, sudah pasti tiada kuih-muih dan lauk-pauk yang enak di waktu berbuka. Sudah dua tahun dia dan ibu berbuka dan beraya dalam keadaan begitu. Lagipula, dia ingin menagih janjinya dengan abah. Tapi, sehingga sekarang dia langsung tidak ketahuan punca di mana abah. Dua tahun! Ke mana agaknya abah?

Di kaki tangga, dia mengerling melihat ibu yang sedang terbongkok-bongkok mengutip kelapa tua di pinggir pagar rumah. Dia mengeluh. Pasti buah kelapa itu ibu ingin membuat kuih untuk jualan di bazaar ramadhan nanti. Dia menarik nafas. Seakan cuba melepaskan beban yang bersarang di hatinya. Namun, ternyata semuanya sia-sia. Beban itu masih tersangkut di dada. Berat dan menyakitkan. Hatinya merintih melihat ibu begitu. Nanti ibu letih lagi. Nanti ibu pengsan lagi. Tapi, ibu ini degil orangnya. Biar sudah berbuih mulut opah menasihati ibu, tapi ibu tetap begitu juga. Ke hulu hilir, tanpa mengenal penat lelah. Kalau ibu berehat pun, bila waktu lewat-lewat malam. Itupun, selepas ibu siap melipat pakaian ataupun membuat kuih yang ditempah orang, barulah dia melihat ibu akan memasuki kamar dan menelentangkan dirinya. Entah bila masanya ibu larut dalam mimpi-mimpinya sendiri, dia tidak tahu kerana selalunya dia terlebih dulu mengulit mimpi-mimpi dari ibu.

Ibu, sejak ditinggalkan abah, begitulah dia. Pagi-pagi, ibu akan berkejar ke rumah Puan Kamsiah untuk mengambil upah mencuci pakaian mereka. Pernah juga dia menyuruh ibu supaya jangan membuat kerja-kerja itu, tapi ibu buat-buat pekak. Dia sebenarnya bukan apa, malu apabila sering ditertawakan oleh Laila, teman sekelasnya. Kata Laila, ibunya bekerja sebagai orang gaji dirumahnya. Tukang cuci baju, Tukang cuci tandas. Tukang cuci pinggan mangkuk. Laila seringkali mengejek-ngejeknya di hadapan Pain dan Pijek. Sekali dua, dia boleh buat-buat pekak, tapi lama-lama terasa berdesing juga. Ingin rasanya, dia tarik tocang Laila biar Laila meraung kesakitan. Biar terbayar rasa sakitnya melihat Laila menangis. Tapi entah mengapa, setiap kali hasutan begitu datang menyucuk hati kecilnya, dia pasti akan teringat pesan abah, “ Lina jadi budak baik ya. Jangan gaduh dengan kawan. Jangan derhaka dengan mak. Baru abah sayang…” Tiba-tiba dia jadi lemah. Dia jadi pendiam. Dia jadi pasif.

Selalunya bila dia diejek Laila, Pain yang selalu membelanya. Bila Laila kata;

“Mak Lina tu jadi orang gaji di rumah aku. Dia orang miskin. Selalu tidak ada duit. Nak makan pun, mama aku yang bagi…” Pain lantas menempelak, “Mama engkau orang baik, engkau orang jahat!’ Kemudian Pain, kawan-kawan dan dia pakat ketawa kuat-kuat biar Laila sakit hati. Sehari dua, Laila menjauhkan diri darinya. Kemudian, dia mendekat dan mengejek lagi. Mengata lagi. Lama-lama dia sudah lali dengan kata-kata Laila. Dia buat-buat tidak dengar apabila Laila memburuk-burukkan ibunya. Dia tidak boleh bergaduh dengan Laila sebab kata ibunya, “ Lina harus jadi budak yang baik, baru abah akan sayang. Bila abah sayang, nanti abah akan tunaikan apa yang Lina mahukan!”

Tapi sudah dua kali hari raya, abah tak balik. Abah ke mana? Sudah naik jenuh dia bertanya ibu, tapi jawapan ibu selalunya sama sahaja, Abah pergi kerja. Nanti abah baliklah! Dia pun lama-lama dah naik cemuh dengan kata-kata ibu. Abah kerja di mana? Abah kerja apa sehingga empat kali raya tak balik-balik?

Tahun ini dia harap sangat abah balik. Janjinya sudah dua tahun tertangguh. Dia ingin abah tunaikan janjinya. Sebab itu, dia harus puasa penuh. Nanti kalau tak puasa, abah marah. Bila abah marah, pasti abah tak tunaikan janjinya. Abah juga pasti tidak akan sayang padanya lagi. Ibu dan opah juga.

Sepanjang bulan Ramadhan itu, sedaya upaya dia berusaha untuk berpuasa penuh. Malam-malam, dia akan dikejutkan ibunya untuk bangun bersahur. Biarpun dalam mamai, dalam mengantuk, dia suapkan juga nasi dan lauk telur masin yang disediakan ibunya ke mulut. Kalau tidak, nanti esoknya dia lapar. Dia tidak ingin ponteng puasa. Di sekolah, Pain dan Pijek juga berpuasa. Ramai kawan-kawannya yang turut berpuasa. Cuma Laila sahaja yang kadang-kadang ponteng puasa. Laila akan makan Ais Krim, keropok, dan biskut di hadapannya. Bila dia tanya kenapa Laila tak puasa, Laila akan jawab, “ Aku punya sukalah. Aku ada duit. Aku boleh beli makanan banyak. Tak macam engkau. Tak ada duit nak beli keropok, sebab tu engkau puasa!” Saat itu memang dia sakit hati. Tapi kata ibu, bulan puasa dia tidak boleh marah-marah. Nanti batal puasa. Tak dapat pahala. Akhirnya dia diam sahaja. Dia tidak ingin hilang pahala puasa gara-gara Laila.

Di waktu petang pula, dia akan menolong ibunya di bazaar Ramadhan menjual kuih-muih. Biarpun dia letih, tetapi dia gembira. Sebab, ibu telah berjanji kepadanya. Kalau ibu dapat duit banyak, ibu akan membelikan bunga api untuknya. Dia suka main bunga api. Setiap kali hari raya tiba, ibu pasti akan membelikannya bunga api dan dia akan main bersama Pain dan Pijek di halaman rumah. Malah, kalau ada abah, dia lagi gembira. Abah selalu menemaninya bermain bunga api. Mereka akan berlari-larian di halaman sambil bergelak ketawa dan bergurau senda.

Kali ini dia mesti dapatkan bunga api banyak-banyak. Bukankah abah nak balik? Dia akan ajak abahnya main bunga api sepuas hatinya. Sudah lama dia tidak bermain kejar-mengejar dengan abah di malam raya. Sudah lama juga dia tidak mendengar ibunya membebel memarahi dirinya kerana selalu meminta abah mendukungnya. Sungguh! Dia rindukan itu semua. Dan dia pasti, hari raya kali ini, pasti abah akan tunaikan semua keinginan itu bersamanya!

Malamnya pula selepas berbuka puasa, dia akan mengikuti ibu dan opahnya ke surau. Kata ibu, di bulan ramadhan, dia harus bersembahyang terawih untuk dapatkan lebih banyak pahala. Nanti senang masuk syurga. Dia angguk sahaja. Di saf belakang ibunya, sedaya upaya dia cuba mengikut gerak laku sembahyang seperti yang dilakukan oleh ibu dan opahnya. Bila ibu rukuk, dia rukuk. Bila opah sujud, dia sujud. Untung sahaja, di sekolah dia belajar bacaan sembahyang dengan Ustazah Fazilah. Sekurang-kurangnya dia tidak menipu tuhan dengan membaca bacaan yang bukan-bukan dalam sembahyang.

Pagi raya, dia bangun awal. Dia ingin tunggu abah balik. Hari ini, mesti abah balik. Bukankah abah sudah janji ingin balik? Selepas mandi, dia bersiap-siap. Baju baru yang dijahit ibunya dipakai bangga. Nanti apabila abah melihatnya, abah akan kata;

“Lina cantik…,” dan dia akan tersenyum gembira. Sudah lama, dia tidak mendengar abah mengatakannya drinya cantik. Dia akan menayangkan kasut dan beg sandangnya yang baru juga. Semuanya itu opah yang belikan. Kata opah, itu upah kerana dia rajin puasa, rajin sembahyang. Dia senyum senang. Abah, bila abah akan pulang?

Masuk tengahari, wajah abah masih belum kelihatan. Dia sudah letih menunggu di kaki tangga. Dari pagi, dia bertenggek di situ, menanti abah. Sampaikan bila Pain, Pijek , dan Hafiz datang mengajaknya beraya ke rumah jiran-jiran, dia buat endah tidak endah. Dia ingin menunggu abah. Dia takut bila abah balik, dia tidak ada di rumah. Nanti abah lupakan janjinya. Lagi pula, banyak hal yang ingin dia ceritakan dengan abah. Abah pun mesti ada banyak perkara yang ingin ditanyakan kepadanya. “Lina puasa penuh tak? Dia pasti angguk. “ Lina jadi budak baik tak?” Dia pasti akan kata ya! Ibu kata dia budak baik. Opah juga. Di rumah, dia bantu ibu, dia tolong opah. Di sekolah, dia tidak pernah bergaduh dengan kawan-kawan. Tidak pernah tarik tocang Laila walaupun macam-macam Laila katakan kepadanya. Memang dia nak jadi budak yang baik. Untuk abah, ibu dan opah.

Akhirnya dia mengalah. Itupun setelah berkali-kali dipujuk ibu dan opah. Kata ibu; “Lina harus sabar. Nanti abah pulang. tapi bukan sekarang….” perlahan-lahan dia menapak ke dalam rumah. Duduk di kerusi, bersandar lemah. Saat itu, dirasakan semangatnya bagaikan mati. Dia sedih. Tahun ini abah mungkir janjinya lagi. Abah tipu! Abah bohong! rajuknya dalam diam. Dalam dia melayan-layan emosinya itu, entah bila masanya dia terlena diulit kesedihan.

Petang itu, tidurnya dikejutkan seseorang. Sewaktu dia membuka mata, dia melihat sebuah patung teddy bear sedang tersenyum kepadanya. Patung itu besar, sebesar dirinya. Kemudian, perlahan-lahan teddy bear itu dialihkan, dia nampak wajah abah tersenyum kepadanya. Mengantuknya tiba-tiba hilang. Secepat kilat, dia bangun dan mendakap tubuh abahnya. Senyumnya lebar, hatinya berbunga riang. Dia gembira bagaikan terbang di awangan!

No comments: