" a life is a journey..."

" a life is a journey..."

Sunday, September 11, 2016

BENDERA



PENA TIMUR
BENDERA

telah diterbitkan: 
 Akhbar Fitrah ( Harakah), Februari 2008



Kak Long




Cerpen



Bendera
Oleh: Penatimur


BASIKAL tuanya diheret dari bawah rumah. Berkeriut bunyinya. Lampu suluh di tangan kiri di pegang erat. Ada cahaya kucar-kacir mengena tanah. Basikal itu kemudian ditongkatkan dihadapannya. Kain sarung yang dipakai, kembali dibetul-betulkan lipatannya. Biar kemas, tidak tersorot labuh mengena tanah. Rokok di bibir disedut nikmat narkotinnya sekali dua, turut menyalakan bara yang hampir padam di hujungnya. Sejenak, asap rokok dilepaskan di udara, dia batuk. Sekali, dua kali. Nafasnya sedikit tercungap dan berbau tengit.
            Seketika, dia mendongakkan kepala ke dada langit. Malam itu sepi, tiada bintang. Bulan juga tidak kelihatan. Langit hitam, suram tanpa penyeri. Dia kembali tunduk melihat tanah yang samar-samar ditempias lampu kalimantang yang menerobos melalui lubang-lubang lantai di bawah rumah. Sesekali telinganya menangkap bicara anak-anaknya yang begitu asyik mengadap televisyen di dalam rumah. Entah cerita apa yang ditontonkan oleh mereka, dia tidak tahu. Untuk beberapa minit itu, dia sekadar berdiri berhampiran basikalnya itu, menghisap rokok yang sedari tadi terkepit di antara dua jarinya.
            Puntung rokok itu kemudiannya dilempar ketanah. Bara tembakau yang menyala sedikit terpercik apabila mengena tanah. Sejenak, dia tarik dan melepas nafas. Menyedut udara malam. Basikal tua di angkatkan tongkatnya dengan kaki dan kemudian di tarik rapat ke sisinya. Pengayuh diperbetulkan kedudukannya. Dengan lafaz bismillah, perlahan-lahan,  basikal tua itu dikayuh keluar dari perkarangan rumah.
            Sudah beberapa malam, dia keluar rumah malam-malam begitu. Selepas insyak, pasti dia akan mengayuh basikal tua itu menuju ke kedai kopi Salleh yang terletak di simpang sekolah agama berhampiran rumahnya. Beberapa malam ini, ada banyak agenda yang ingin ditadah telinganya. Ada banyak berita-berita gawat yang ingin didengarinya. Biarpun dia bukan daripada golongan orang-orang yang terpelajar, namun dia tetap cergas mengikuti isu-isu semasa. Dia tidak ingin menjadi katak dibawah tempurung. Tambah-tambah lagi berita sensasi seperti sekarang ini. Setiap hari, dia akan mengadap akhbar untuk menambahkan pengetahuannya. Memang dia tidak begitu arif tentang isu dunia, namun cukuplah dia mengetahui tentang hal-ehwal negaranya. Dia berhak untuk tahu. Dia manusia merdeka, yang bebas untuk mempunyai pendirian tersendiri bagi menentukan apa yang terbaik di fikirannya.
            Basikalnya dikayuh perlahan-lahan. Suasana di lorong kecil itu kelam suram. Dengan hanya bersuluhkan cahaya lampu di tangannya itu, dia membetulkan laluan basikalnya agar tidak tersasar dari jalan. Jauh di simpang hadapan, ada lampu besar memancar menyilau pandangannya. Segera dia mengayuh basikalnya ke tepi, memberi laluan pada kenderaan yang bakal berselisih dengannya itu.
            Sewaktu kereta itu bertembung dengannya, dia memberhentikan kayuhan. Menongkatkan basikal dengan kaki kanannya. Memberi laluan kepada kenderaan besar itu untuk berkongsi melalui lorong sempit itu. Sewaktu berselisih, pemandu di dalam  kereta, melambai tangannya sekali mengucapkan terima kasih. Dia angguk, tersenyum cuma. Entah siapa, dia tidak kenal. Seingatnya, tiada kereta sebegitu yang menjadi milik jiran-jirannya. Ah, mungkin saja, kereta itu milik tetamu jiran-jirannya.   
 Kayuhannya  berhenti di simpang tiga. Ditolehnya kanan dan kiri dua tiga kali. Sekadar mengikuti panduan lazim untuk melintas jalanraya. Jalan itu lengang. Tetapi, dia masih belum mahu berkayuh pergi.  Pandangannya dilemparkan ke arah kedai kopi yang berada berhadapan dengannya. Dua tiga buah kereta tersadai di tepi jalan. Meja-meja makan di depan kedai sudah mula penuh dilingkungi beberapa orang. Dia pandang sekitar kedai itu. Pelanggannya meriah benar bercerita sesama mereka. Entah apa yang mereka gossipkan, dia tidak mengambil perhatian. Kutuklah, temberanglah. Pujilah. Begitulah hal-hal yang biasanya sering diperkatakan mereka malam-malam genting sebegini. Malas memerhati lama, dilemparkan pula pandangannya  memerhati sesuatu di tepi jalan. Beberapa batang buluh dan batang-batang kayu terpacak berdiri. Ada yang tegak, ada yang senget. Ada yang pendek, ada yang tinggi melangit. Di hujung buluh dan kayu-kayu itu ada kibaran kain berwarna biru berlukis alat timbangan putih. Bendera itu bukan sebarangan bendera. Itu bendera perang. Dia tahu dan dia faham.
            Malah, tidak cukup bendera di hujung buluh atau kayu-kayu yang terpacak itu, ada lagi bendera-bendera yang ditampal didinding kedai kopi tersebut. Di pagar-pagar rumah berhampiran dan juga di juga di tempat-tempat yang dirasakan mampu dilihat dan dijangkau oleh pandangan mata. Dia sekadar membuang pandang sahaja. Baginya, itu semua sudah menjadi lumrah apabila menjelangnya minggu-minggu nazak seperti itu. Bendera itu bukan sebarang bendera. Itu bendera perjuangan. Bendera yang bakal menentukan pucuk pimpinan, mencorak dasar pemerintahan yang akan dipegang tahun bertahun. Biarpun, langkah itu dilihat membazir dan membuang masa. Namun, begitulah rentaknya perang ini setiap kali menjelangnya hari bagi rakyat sepertinya meluahkan rasa cinta atau benci kepada pemimpin yang sedia ada.  
            Dia kembali meneruskan kayuhannya. Destinasinya bukan di situ. Pilihannya bukan di markas itu. Sejak bertahun-tahun lalu, markasnya di kedai berhampiran sekolah agama di hujung jalan sana. Dia tidak pernah berpaling arah. Meskipun begitu ramai yang memujuknya berpindah markas. Dia buat endah tak endah. Baginya, selagi hatinya masih di situ, dia akan tetap disitu. Biarlah apa sahaja orang mengata tentang dirinya. Dia bodoh. Dia miskin. Dia buta. Dia jahil. Dia segala-galanya. Dia tidak kisah. Pendiriannya masih tidak goyah. Hatinya masih ingin setia pada yang satu. Pada bendera yang pastinya bukan bendera yang biru itu.
            Dia tahu, dia tidak belajar tinggi seperti kebanyakkan dari pelanggan di kedai kopi berpacakkan bendera biru itu. Dia juga tahu, ilmunya setakat kepala orang kampung sahaja. Tapi sekurang-kurangnya dia tidak naif. Dia memilih bukan kerana suka-suka. Dia memilih kerana dia sudah menimbang semasak-masaknya. Dia inginkan kedamaian dan ketenteraman negaranya. Tetapi, biarlah semuanya berpaksikan suruhan tuhan yang esa. Dia tidak ingin menjadi bangsa yang mengikut arus. Bangsa yang maju di kaca mata penjajah, tetapi hancur di mata agamanya.
            Dia kini sudah berusia tua. Sudah tidak terlalu memikirkan nikmat dunia sekelilingnya. Namun, amanah tetap harus dilaksanakan juga. Dia tidak boleh mengelak. Dia harus berjuang demi kebahagiaan  anak-anaknya. Masa depan anak-anaknya terletak pada tindakannya pada hari ini. Kekalahan dan kemenangan beberapa lagi bakal mencorakkan masa depan anak-anaknya. Itu yang sebolehnya mahu dipertahankan. Walau dia bukan siapa-siapa. cukuplah dia melakukan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa. Seorang bapa yang tidak ingin melihat anak-anaknya hancur kerana kerakusan pemimpin yang hanya tahu mengaut keuntungan dan mengejar kemajuan sehingga melupakan tunjang-tunjang agama dalam pemerintahannya.
            Dari jauh, dia melihat kelibat teman-temannya sudah ramai yang mengerumuni meja. Kayuhannya kian laju. Biar dia segera sampai. Malam itu, dia ingin bergempur lagi. Biarlah. Akan ditadah telinganya dengan cerita-cerita sensasi perang ini. Lagipun, perang ini ada juga meriahnya. Tak kira anak muda, warga-warga tua semuanya memberi perhatian yang maha besar dengan isu negara yang terbaru ini. Manakan tidak, perang ini perang memilih yang hak kepada siapa yang berhak.
            Sesampainya di selekoh kedai kopi itu, dia menongkatkan basikalnya di bawah pokok jambu yang berhampiran. Langkahnya diatur menuju ke salah satu kerusi yang terletak di dalam kedai tersebut.
            “ Lambat malam ni…” serentak dia melabuhkan punggung, terpacul soalan dari tauke kedai kopi. Dia senyum.
            “ Biasalah. Ada lambat. Ada cepat. Yang penting datang juga.” Jawabnya.
            “ Minum?” Dia angguk. “ Macam biasa…”
Di dalam kedai kopi itu, dia ralit bersembang sambil anak matanya sesekali melilau sekitar. Jauh di hadapan, kelihatan beberapa batang buluh dan batang-batang kayu yang terpacak. Ada yang tinggi dan ada yang rendah. Ada yang tegak. Ada yang senget. Di hujung kayu-kayu yang terpacak itu, benderanya bukan lagi bewarna biru laut. Tetapi hijau daun. Ada bulan meskipun di dada langit, suasananya tetap suram hitam kelam. 

No comments: